errr…ape tu Israk Mikraj…?

July 20, 2009 babywynn

Apa itu Israk Mikraj?

Baiklah secara jujur adakah anda sebelum ini tahu peristiwa ini? Bilakah berlakunya? Dan apakah pengajaran yang harus diambil dari setiap peristiwanya? Dan apakah sebabnya terjadi peristiwa ini?Kita sebagai umat islam seharusnya tahu dan menghayati setiap peristiwa itu dengan hati yang terbuka. Yakni hati yang menjiwai dan mendalami serta mengambil pengajaran daripadanya. Bukan setakat di bibir, bukan setakat penghayatannya sahaja malah harus dijadikan pegangan dan pedoman hidup agar kita melakukan segala suruhanNYA dan meninggalkan segala laranganNYA. Jika sebelum ini anda mengambil ringan ataupun sekilas pandang dalam mengetahui atau menghayati peristiwa dalam Islam ini, apa kata saya cuba membawa anda meredah dengan sedikit penghuraian dan mana tahu dapat merubah gaya hidup anda(saya jugak) ke arah yang lebih diredhai Allah s.w.t. Dan bukanlah hanya peristiwa ini sahaja malah banyak teladan dan kisah-kisah Nabi terdahulu yang tertulis di dalam Al-Quran untuk kita dijadikan iktibar .Moga-moga kita semua sentiasa diberi petunjuk dan hidayah dan tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi.

Apa erti Israk Mikraj?

Israk bermaksud perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis Palestin. Seperti di dalam Al-Quran:

Firman Allah Taala bermaksud:

Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Selain itu, Mikraj pula merujuk perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al-Muntaha di langit ketujuh dekat singgahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran.

Firman Allah Taala bermaksud:

Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidrat al-Muntaha. Di dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannat al-Makwa). (Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidrat al-Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) TuhanNya yang paling besar.

Kesimpulannya: Israk Mikraj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad S.A.W. pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidrat al-Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

Apakah sebab terjadinya peristiwa ini?

Apa yang terjadi semuanya bersebabkan? Dan tidak ada yang berlaku itu tanpa ada sebab dan disengajakan. Ibarat dalam kehidupan, jika sesuatu musibah berlaku ke atas kita atau rintangan yang terpaksa di lalui di dunia ini semuanya terkandung hikmah tersendiri. Ada pengajaran dan pelajaran yang di ajar terus daripada Allah s.w.t. Kita seharusnya yakin dengan Allah.s.w.t dan bersangka baik. Sesungguhnya bukankah Allah itu lebih mengetahui dan pemikiran kita sentiasa terbatas? Dan bersabarlah menghadapi setiap UjianNYA kerna kemanisan akan terpalit di hati di pengakhiran sesuatu itu dan memanglah kesabaran itu sangat susah dan perit namun percayalah Allah s.w.t itu adil dan saksama. Berpeganglah pada janji-janjinya.

Sambung sebab terjadinya Israk Mikraj terjadinya pada Bulan Rejab iaitu tahun ke-11 dari kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. dan diperkatakan oleh ahli sejarah sebagai tahun dukacita bagi baginda berikutan dengan dua musibah yang menimpa baginda secara berturut-turut.

1)kehilangan dua insan yang baginda sayangi berikutan kewafatan Khadijah (isteri baginda)

2)disusuli pemergian Abu Talib (bapa saudara baginda).

Musibah ini sangat mempengaruhi diri Nabi Muhammad S.A.W.. Baginda rasa pergerakan dakwah di Makkah makin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan ini membawa baginda berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu dalam perjuangannya. Namun, harapan itu hancur kerana penduduk Thaif bukan sahaja tidak mahu beri perlindungan kepada baginda bahkan dicaci , dihina dan banyak lagi.

Nabi Muhammad S.A.W. kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa dan dukacita. Lalu Allah Taala menganugerahkan Israk Mikraj yang antara lain bertujuan untuk menghibur dan memantapkan iman Nabi Muhammad S.A.W. Sebab kepada Israk Mikraj ini adalah antara sebab musabab berlakunya peristiwa ini namun semuanya di atas kehendak dan ketetapan dari Allah S.w.T.

Dalam perjalanan Nabi Muhammad S.A.W, baginda menaiki seekor Buraq untuk membawa Nabi Muhammad S.A.W. dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Dari segi bahasa Buraq bererti kilat cahaya. Ia sejenis makhluk menyerupai haiwan. Saiznya besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit dari baghal. Buraq dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya. Ia boleh melangkah sejauh mata memandang.

Baiklah saya terangkan secara sedikit sahaja tentang perjalanan baginda. Dan apakah yang baginda terlihat sepanjang baginda dan ditemani malaikat Jibril A.S berangkat ke langit pertama hingga ke langit ketujuh?

Secara ringkasnya saya huraikan:

Di sini Allah Taala memperlihatkan pelbagai gambaran kejadian aneh dan pelik sebagai balasan daripada Allah Taala kepada hamba-hambaNya mengikut apa sahaja perbuatan yang telah dilakukan. Di antara yang kejadian yang diperlihatkan kepada baginda sepanjang Israk dan Mikraj adalah:

Baginda melihat orang yang bercucuk tanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat. Inilah gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah Taala.

Baginda mencium bau yang amat wangi dari kubur Masyitah. Ceritanya: Sedang Masyitah menyikat rambut anak Firaun maka sikat yang digunakan itu terjatuh lalu Masyitah menyebut: Dengan nama Allah. Bertanyalah anak Firaun kepada Masitah tentang tuhan selain bapanya. Masyitah menjawab: Tuhanku dan tuhan bapa kamu adalah Allah. Anak Firaun memberitahu bapanya akan hal ini lalu Masyitah diugut oleh Firaun supaya kembali ke agama asalnya. Masyitah enggan dan tetap dengan pendiriannya. Lalu Firaun mencampakkan seorang demi seorang anaknya ke dalam air yang mendidih sehingga tiba giliran anak terakhirnya yang sedang disusui olehnya. Masyitah merasa sangat bimbang dan kesian akan anak kecilnya itu lalu Masyitah cuba melengah-lengahkan masa. Dengan kuasa Allah Taala maka bayi tersebut dapat berkata-kata lalu menyebut: Wahai ibuku! Sesungguhnya azab akhirat itu jauh lebih pedih dari azab dunia maka usahlah ibu menjauh-jauhkan diri kerana ibu di pihak yang benar. Lalu Masyitah melepaskan bayinya dan Firaun dengan segera mencampakkan bayi itu ke dalam didihan air. Masyitah berkata: Aku mempunyai permintaan iaitu supaya engkau (Firaun) mengumpulkan semua tulang dan menanamnya. Firaun berkata: Aku akan melakukannya. Lantas Firaun pun mencampakkan Masyitah ke dalam air didihan itu.

Baginda melihat sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil memakan sampah-sarap serta rumput. Itulah gambaran golongan manusia yang enggan mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana sayangkan harta yang dimiliki.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang mempunyai perut yang besar sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri. Inilah gambaran manusia yang memakan hasil daripada perbuatan riba.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan busuk sedangkan di sisi mereka juga terdapat daging yang telah dimasak dan berkeadaan baik. Inilah gambaran manusia yang telah melakukan zina dalam hidup mereka sedangkan mereka sudah pun mempunyai isteri yang telah dikahwini secara sah.

Baginda turut melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepalanya sendiri. Inilah gambaran manusia yang terlalu sibuk dengan hal-hal keduniaan sehingga lalai menunaikan kewajipan bersolat.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang memotong lidahnya sendiri secara berterusan. Inilah gambaran manusia yang dalam hidup mereka suka menabur fitnah dan berbohong apabila berkata-kata.

Baginda melihat wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Inilah gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.

Baginda melihat wanita tergantung pada rambutnya serta otaknya menggelegak dalam periuk. Inilah gambaran balasan wanita yang tidak menutup auratnya.

Baginda melihat wanita berkepala seperti babi dan badannya seperti kaldai dan menerima berbagai-bagai balasan. Inilah gambaran wanita yang suka membuat fitnah dan bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.

Dan antaranya difardhukan solat lima waktu.

Sebagai kesimpulannya, apa yang saya telah rencanakan maka sudah tentulah kita harus di ambil pengajaran daripada peristiwa Israk Mikraj ini dan bukanlah sekadar cerita untuk didengar , dibaca semata-mata jauh dari dalam sudut hati dijadikan pedoman hidup kita kat dunia nih. Moga penulisan saya ini sedikit sebanyak kita semua mendapat manfaat. Insya Allah.

Entry Filed under: Uncategorized

Leave a Comment

Required

Required, hidden



Some HTML allowed:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Trackback this post  |  Subscribe to comments via RSS Feed



Pages

Categories

Calendar

July 2009
M T W T F S S
« Apr   Aug »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Most Recent Posts